Hubungan Undang-Undang Adat dan Keharmonian Antara etnik di Sabah: Analisis K.A.P
Abstract
Kajian ini meneliti hubungan antara undang-undang adat dan persepsi keharmonian antara etnik di Sabah menggunakan kerangka Pengetahuan-Afektif-Amalan (K.A.P). Kajian ini menggunakan reka bentuk tinjauan rentas-seksyen yang melibatkan responden daripada beberapa daerah terpilih di Sabah bagi menilai tahap kefahaman, sikap dan amalan masyarakat terhadap undang-undang adat serta hubungannya dengan keharmonian sosial antara etnik. Data dikumpulkan melalui soal selidik berstruktur dan dianalisis menggunakan pendekatan statistik inferensi bagi mengenal pasti pola hubungan dan sumbangan relatif setiap dimensi K.A.P terhadap keharmonian etnik. Dapatan kajian menunjukkan bahawa undang-undang adat mempunyai hubungan yang signifikan dengan persepsi keharmonian antara etnik. Ketiga-tiga dimensi K.A.P didapati menyumbang secara bermakna terhadap pembentukan hubungan harmoni, dengan dimensi afektif muncul sebagai faktor yang paling dominan berbanding dimensi pengetahuan dan amalan. Hal ini menunjukkan bahawa sikap, penerimaan dan keprihatinan sosial terhadap undang-undang adat memainkan peranan yang lebih besar dalam mengukuhkan keharmonian antara etnik berbanding kefahaman formal semata-mata. Secara keseluruhannya, kajian ini menegaskan bahawa undang-undang adat bukan sekadar sistem peraturan tradisi, tetapi berfungsi sebagai mekanisme sosial yang penting dalam memperkukuh toleransi, kepercayaan dan kohesi sosial dalam masyarakat majmuk Sabah. Implikasi kajian mencadangkan keperluan untuk memperkukuh pendidikan komuniti, penghayatan nilai adat serta peranan Mahkamah Anak Negeri sebagai institusi utama dalam menyokong keharmonian antara etnik secara berterusan.
Fields of Study & Subjects
Indigenous Peoples' Rights and Law
Southeast Asian Sociopolitical Studies
Legal and Policy Analysis in Indonesia
Publication details
- Journal / source
- Jurnal e-Bangi/e-Bangi
- Volume
- 23
- Issue
- 1
- Publication date
- 28 February 2026
- Language
- ID