Kebangkitan Perikatan Nasional Melalui Sokongan Pengundi Melayu Dalam Pilihan Raya DUN Negeri Sembilan Ke-15

Read full text
Authors: Mokhtar Ahmad, Junaidi Awang Besar
Cited by: 2

Abstract

Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 Negeri Sembilan menyaksikan kebangkitan Perikatan Nasional (PN) apabila berjaya memenangi lima kerusi DUN daripada 36 kerusi DUN yang dipertandingkan. PN menang di kawasan DUN Labu, Paroi, Bagan Pinang, Gemas dan Serting. Kemenangan bermakna lima DUN ini telah menimbulkan pelbagai persoalan dan perhatian untuk diselidiki duduk sebenar jalan ceritanya. Lantaran itu, artikel ini cuba menyelami situasi disebalik keputusan luar jangkaan lima kawasan DUN yang dimenangi PN tersebut sebagai kawasan kajian. Penyelidik meletakkan tiga keutamaan sebagai objektif penulisan. Pertamanya, penyelidik akan menyoroti keputusan pilihan raya bagi lima kawasan tersebut sejak bermulanya pilihan raya bermula 1959. Kedua, mengenal pasti prestasi dan pola pengundian parti politik yang menang di kawasan tersebut pada PRN-15. Ketiga, penyelidik akan cuba menghuraikan isu dan faktor berlakunya perubahan tingkah laku pengundi lima kawasan tersebut yang beralih sokongan kepada PN. Penulisan ini menggunakan sumber sekunder daripada laporan SPR, buku, jurnal, makalah, laman sesawang dan akhbar atas talian sebagai data kajian. Secara kuantitatif, PN menguasai 53.94 peratus undi berbanding gabungan PH/BN yang memperoleh 42.45 peratus, sekali gus mencerminkan kecenderungan pengundi Melayu yang lebih memihak kepada PN. Dari sudut kualitatif, pengundi BN khususnya UMNO masih berasa ragu dan keliru terhadap kerjasama tersebut, terutama kerana penglibatan DAP, manakala sebahagian penyokong PH pula kekal skeptikal terhadap BN yang sering dikaitkan dengan isu rasuah dan kelemahan tadbir urus. Secara keseluruhan, artikel ini memberikan gambaran baharu tentang hala tuju dan tingkah laku politik orang Melayu di Negeri Sembilan serta memperkayakan pemahaman terhadap dinamika politik negeri tersebut.

Fields of Study & Subjects

Linguistic Cultural and Literary Studies Technology and Human Factors in Education and Health Architecture and Cultural Influences

Publication details

Journal / source
Jurnal e-Bangi/e-Bangi
Publisher
Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM Press)
Volume
23
Issue
1
Publication date
28 February 2026