Pemerkasaan Pendidikan Golongan Dewasa di Sarawak, 1946 hingga 1970

Read full text
Authors: Julina Ottot, Ahmad Kamal Ariffin Mohd Rus, Mardiana Nordin
Cited by: 0

Abstract

Pendidikan penting dalam usaha meningkatkan tahap literasi dan kemahiran asas dalam kalangan masyarakat tempatan di Sarawak. Kajian ini meneliti usaha-usaha memperkasakan pendidikan golongan dewasa di Sarawak dalam tempoh pasca-Perang Dunia Kedua hingga tahun 1970. Dalam tempoh ini, perubahan signifikan berlaku dalam landskap sosial dan pentadbiran Sarawak terutamanya selepas peralihan kuasa pemerintahan kepada kolonial British pada tahun 1946. Pendidikan golongan dewasa dianggap sebagai mekanisme penting untuk mengatasi masalah buta huruf, memperkukuh pembangunan masyarakat dan memberikan peluang kedua kepada mereka yang terpinggir daripada sistem pendidikan formal. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui analisis dokumen-dokumen seperti laporan tahunan dari Jabatan Pendidikan Sarawak dan bahan-bahan arkib berkaitan dengan program literasi dan kelas malam yang dijalankan oleh kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO). Dapatan kajian menunjukkan bahawa pelaksanaan kelas dewasa, kursus vokasional dan program literasi telah memberikan kesan positif terhadap peningkatan taraf hidup, peningkatan kesedaran sivik dan penglibatan masyarakat dalam aktiviti kemasyarakatan. Sungguhpun, berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti kekurangan guru dan infrastruktur pendidikan, tetapi usaha ini tetap menjadi asas penting dalam membina modal insan dan memperkuat jaringan sosial di Sarawak. Implikasi ini selaras dengan SDG 4 yang menekankan akses kepada pendidikan berkualiti sepanjang hayat, SDG 10 yang menyasarkan pengurangan ketidaksamarataan melalui peluasan peluang pembelajaran kepada golongan terpinggir serta SDG 8 yang menggariskan kepentingan peningkatan kemahiran bagi penyertaan ekonomi yang lebih produktif. Jelas bahawa pendidikan golongan dewasa bukan sekadar bersifat pembelajaran asas malah berperanan sebagai alat transformasi sosial dalam masyarakat kolonial dan pascakolonial.

Fields of Study & Subjects

Non-Formal Education and Adult Literacy Historical Education Studies Worldwide Adult and Continuing Education Topics

Publication details

Journal / source
Jurnal e-Bangi/e-Bangi
Volume
23
Issue
1
Publication date
28 February 2026
Language
ID