Modulasi Terpilih dalam Penterjemahan Emosi Berahi Novel The Elite ke Bahasa Perancis
Abstract
Modulasi berupaya menghasilkan terjemahan yang setara melalui pemindahan emosi yang halus serta penyesuaian terhadap jurang bahasa dan budaya. Jadi, kajian ini adalah penelitian terhadap penggunaan modulasi terpilih dalam penterjemahan emosi berahi daripada novel bahasa Inggeris The Elite ke dalam versi bahasa Perancis L’Élite. Isu utama yang diketengahkan adalah bagaimana unsur emosi berahi dapat disesuaikan secara efektif ke dalam bahasa dan budaya sasaran tanpa menjejaskan makna terjemahan. Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti modulasi terpilih yang digunakan dan seterusnya, menentukan sama ada modulasi tersebut tergolong dalam kategori modulasi wajib atau pilihan, serta menilai sejauh mana modulasi mampu mengekalkan kesan emosi berahi dalam terjemahan. Kajian ini dijalankan menggunakan kaedah analisis teks secara kualitatif deskriptif dengan berpandukan teori terjemahan oleh Vinay dan Darbelnet (1958; 1995) serta teori rasa-fenomenologi oleh Aziz (1998) sebagai teras kerangka analisis. Dapatan menunjukkan bahawa penterjemah cenderung menggunakan modulasi pilihan, terutamanya dalam menyampaikan emosi berahi, bagi menyesuaikan teks dengan kepekaan budaya dan gaya dalam bahasa Perancis. Prosedur ini juga didapati bukan sahaja memelihara makna terjemahan, malah dalam beberapa keadaan kesan emosi berjaya disampaikan dengan baik dalam teks sasaran. Secara keseluruhannya, dapatan ini menunjukkan bahawa pemilihan prosedur modulasi bukan sekadar pemahaman linguistik, tetapi turut dipengaruhi oleh pertimbangan makna keseluruhan serta estetika ayat. Kajian ini penting kerana memberikan sumbangan kepada bidang penterjemahan sastera dimana penelitian terhadap prosedur pemindahan emosi melalui modulasi diperluaskan, di samping menawarkan garis panduan kepada penterjemah dalam mengendalikan unsur emosi kompleks dalam teks sastera rentas budaya.
Fields of Study & Subjects
Translation Studies and Practices
Language and Culture
Swearing
Euphemism
Multilingualism
Publication details
- Journal / source
- Malaysian Journal of Social Sciences and Humanities (MJSSH)
- Volume
- 11
- Issue
- 2
- Pages
- e003768–e003768
- Publication date
- 23 February 2026
- Language
- ID