Bentuk dan Makna Kata Ganda Bahasa Melayu Berdasarkan Data Korpus
Abstract
Kajian ini membincangkan bentuk dan makna kata ganda bahasa Melayu berdasarkan data korpus. Kata ganda ialah kata yang terbentuk melalui penggandaan kata dasar. Kata inilah yang dianggap sebagai kata ganda tulen. Namun, ada juga kata yang mirip dengan kata ganda tulen tetapi tidak dapat dikembalikan kepada bentuk dasar dan kata ini dianggap sebagai kata ganda semu, seperti sia-sia, hati-hati, huru-hara, kucar-kacir, dan seolah-olah. Bentuk inilah yang sering mengelirukan kerana mirip dengan kata ganda tulen. Oleh sebab itulah, kajian ini dilakukan untuk mencapai tiga objektif utama, iaitu (i) mengenal pasti kata ganda tulen dan kata ganda semu; (ii) menganalisis dan membandingkan kata ganda tulen dan kata ganda semu; dan (iii) merumuskan bentuk dan makna kata ganda tulen berbanding kata ganda semu. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif melalui kaedah analisis teks, berpaksikan teori nahu sistemik dan analisis makna komponen oleh Omar. Sampel data kajian diambil secara persampelan bertujuan pada kata ganda tulen dan kata ganda semu dalam pangkalan data Korpus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa kata ganda tulen dan kata ganda semu dapat dibahagikan kepada empat betuk utama, iaitu penuh, berentak, berimbuhan, dan separa. Contohnya, aspek-aspek, mandi-manda, beramai-ramai, dan gegelung (kata ganda tulen); serta anai-anai, serta-merta, kepura-puraan, dan peparu (kata ganda semu). Kajian ini penting sebagai panduan kepada pengguna bahasa, khususnya penulis buku tatabahasa, dalam memahami dan mengelaskan bentuk kata ganda dengan lebih tepat.
Fields of Study & Subjects
Syntax
Semantics
Linguistic Variation
Linguistics and Language Studies
Lexicography and Language Studies
Publication details
- Journal / source
- Pertanika journal of social science & humanities
- Volume
- 34
- Issue
- 1
- Publication date
- 27 February 2026
- Language
- ID