PEMBAHARUAN PERUNDANGAN TANAH OLEH PENTADBIR BRITISH DI PERAK DAN KESANNYA KE ATAS PEMILIKAN TANAH ORANG MELAYU: KAJIAN KES DI KINTA, 1874-1941.
Abstract
Abstrak Artikel ini membincangkan mengenai pembaharuan sistem pemilikan tanah negeri Perak dan kesannya ke atas orang Melayu di Kinta. Sebelum British memperkenalkan perundangan tanahnya, orang Melayu di Perak telah pun memiliki undang-undang tradisionalnya yang tersendiri. Namun, terdapat dalam kalangan pentadbir kolonial yang menolak kewujudan peraturan-peraturan tanah dalam undang-undang tradisional ekoran tidak terdapat sebarang dokumen pendaftaran tanah secara bertulis yang dapat mengesahkan peraturan-peraturan tanah ini benar-benar diamalkan oleh orang Melayu di Perak. Kesimpulan-kesimpulan yang muncul daripada tafsiran pentadbir-pentadbir kolonial ini kemudiannya telah mendorong British untuk memperkenalkan perundangan tanah baharu yang lebih sesuai dengan sistem ekonomi British. Namun, selepas pelaksanaan perundangan tanah British, telah timbul isu kehilangan tanah dalam kalangan orang Melayu. Isu ini sering kali dikaitkan dengan sikap orang Melayu suka berhutang. Hal ini menyebabkan British menguatkuasakan Enakmen Tanah Simpanan Melayu (TSM) 1913. Di Kinta, enakmen ini dikuatkuasakan pada tahun 1915 bagi menyelesaikan isu kehilangan tanah dalam kalangan orang Melayu. Sungguhpun demikian, didapati bahawa isu kehilangan tanah orang Melayu masih berlaku sekali pun selepas penguatkuasaan TSM oleh pentadbir British. Kegagalan ini telah menimbulkan persoalan, apakah isu hutang orang Melayu merupakan punca utama kehilangan tanah orang Melayu di Kinta. Kajian ini mendapati punca utama kepada isu ini bukanlah kerana sikap orang Melayu suka berhutang. Sebaliknya, isu ini berpunca daripada peraturan sewa tanah yang termaktub di bawah perundangan tanah British. Artikel ini telah menggunakan pendekatan sejarah berdasarkan analisis sumber-sumber primer yang terdiri daripada rekod rasmi British seperti The Perak Government Gazette, Federated Malay States Government Gazette, dan Laporan Banci.
Fields of Study & Subjects
Land Rights and Reforms
Indigenous Cultures and History
Colonial History and Postcolonial Studies
Publication details
- Journal / source
- MANU Jurnal Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB)
- Volume
- 37
- Issue
- 1
- Publication date
- 30 January 2026